fb fb fb fb fb

Banjir Kota Setar: Calon SPM dua sekolah dipindahkan serta-merta

Foto RTM

ALOR SETAR, 26 November - Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari dua buah lagi pusat peperiksaan di Kedah dipindahkan serta-merta malam tadi ke sebuah pusat peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah (SMKAK) berikutan banjir mula melanda daerah Kota Setar.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat pusat peperiksaan terlibat ialah di SMK Seri Gunong dan SMA Darussaadah di daerah itu.

Beliau berkata seramai 62 calon dari SMK Seri Gunong dan 89 calon dari SMA Darussaadah telah dipindahkan ke asrama SMKAK di Alor Setar.

"Mereka akan ditempatkan di asrama SMKAK Kedah selama dua hari, iaitu pada 26 dan 27 November, bagi memastikan keselesaan calon ketika menghadapi peperiksaan. Langkah ini diambil kerana bukan sahaja pusat peperiksaan terjejas akibat banjir, malah kawasan kediaman para pelajar turut terjejas,” katanya.

Pusat peperiksaan baharu bagi kedua-dua sekolah kini beroperasi sepenuhnya di SMKAK dan penyelarasan operasi perpindahan calon dan logistik telah disempurnakan oleh JPN Kedah bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar.

Beliau berkata demikian ketika meninjau calon-calon SPM dari kedua-dua buah sekolah terbabit.

Setakat 11:00 malam tadi, lima sekolah di Kedah masih terjejas banjir, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Wan Kemara, SK Kodiang, SK Seri Banai,  Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Yit Min dan SMK Jitra di daerah Kubang Pasu.

Manakala sekolah yang telah pulih dan kembali beroperasi ialah SK Batu Lapan Changlun, SK Putat, SMK Bandar Baru Sintok serta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Dublin Bahagian Lima.

EZA YUSMAWATI YAACOP