KOTA BHARU, 26 November - Seramai 9,525 orang daripada 3,618 keluarga masih berlindung di 41 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan empat daerah yang dilanda banjir di Kelantan setakat pukul 1:00 pagi tadi.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tumpat kekal menjadi daerah paling teruk terjejas apabila 4,913 penduduk dipindahkan membabitkan hampir 1,938 keluarga dengan 13 PPS dibuka di daerah itu.
Di Kota Bharu, 19 PPS masih dibuka menempatkan lebih 2,435 penduduk terjejas banjir melibatkan 911 keluarga.
Di Bachok pula lapan PPS dibuka membabitkan 2,027 penduduk terjejas banjir daripada 723 keluarga.
Manakala di Pasir Puteh sebuah PPS dibuka setakat ini membabitkan 150 penduduk terjejas banjir daripada 46 keluarga.
Sementara itu, berdasarkan laman sesawang publicinfobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Sungai Kelantan di Kusial melepasi paras bahaya, manakala Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras amaran.