BUTTERWORTH, 12 April- Malaysia akan bekerjasama rapat dengan negara-negara ASEAN bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu kenaikan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia tidak bergerak sendirian sebaliknya tampil sebagai sebahagian daripada kekuatan kolektif ASEAN demi mempertahankan kepentingan serantau.
"Kesemua pemimpin ASEAN yang saya hubungi menyatakan persetujuan untuk berpakat dan terus mencari jalan penyelesaian atas nama dan semangat ASEAN. Kita tidak bertindak sebagai Malaysia semata-mata, sebaliknya sebagai satu kekuatan serantau," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Bersama Perdana Menteri Peringkat Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menekankan keperluan Malaysia menjadi contoh terbaik dari aspek kestabilan ekonomi dan pembangunan sosial jika mahu dihormati sebagai peneraju ASEAN.
"Malaysia mesti aman, ekonominya stabil dan dasar ekonominya jelas. Rakyat juga perlu gigih bekerja serta memperbaiki kelemahan yang ada, termasuk membanteras rasuah dan mempercepatkan proses kelulusan," tegas beliau.
Menurutnya, keberanian untuk melakukan perubahan dan menonjolkan kekuatan akan menjadi faktor penentu kepada kejayaan Malaysia di peringkat rantau dan global.