IPOH, 12 April- Majlis Jamuan Hari Raya dan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lahat di sini bertukar cemas apabila kebakaran berlaku di tingkat tiga bangunan sekolah itu pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 11.05 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi untuk operasi pemadaman.
Kebakaran berkenaan memusnahkan kira-kira 30 peratus tingkat tiga Blok D melibatkan tiga bilik darjah, satu bilik khas, satu studio seni dan dua stor.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Operasi pemadaman tamat sepenuhnya sekitar pukul 3.55 petang.