fb fb fb fb fb

Perlis rekod 24% peningkatan jumlah kutipan barangan kitar semula

ARAU, 22 Jun - Perlis merekodkan jumlah kutipan barangan kitar semula sebanyak 539,648 kilogram pada tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 24% berbanding 436,785 kilogram bagi tahun 2020.

Dari keseluruhan kutipan barangan semula pada tahun 2021, 19% daripadanya atau 104,843 kilogram dikumpul menerusi Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) Kangar.

Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman, Zaki Abdul Aziz Daud berkata, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, DTRC Kangar telah merekodkan kutipan 85,957 kilogram barangan kitar semula pelbagai kategori.

Berikutan perkembangan itu, sebuah lagi Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) dibuka di Pasar Awam Arau untuk kemudahan penduduk khususnya di Arau.


(Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan pembukaan 
Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) di Pasar Awam Arau, Perlis)

Pusat kitar semula pandu lalu ini adalah inisiatif E-Idaman Sdn Bhd (EISB) dengan kerjasama daripada SWCorp Negeri Perlis dan Kerajaan Negeri Perlis serta Majlis Perbandaran Kangar.

Antara barangan kitar semula yang banyak dihantar ialah barangan fabrik, kotak, campuran kertas dan minyak masak.

Pembukaan DTRC Arau disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang turut dihadiri Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman Datuk Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Ismail Mokhtar.

Media Baharu