fb fb fb fb fb

Gaduh di lobi mahkamah, polis sahkan terima laporan daripada jurugambar dan peguam

(Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim/ Foto BERNAMA)

SHAH ALAM, 22 Jun - Polis Shah Alam mengesahkan menerima laporan daripada seorang jurugambar dan peguam, susulan pergaduhan yang berlaku di lobi bangunan Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi semalam.

Dalam kenyataan, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata hasil siasatan awal polis mendapati, pergaduhan tersebut melibatkan seorang jurugambar sambilan sebuah akhbar tempatan berumur 34 tahun, dengan seorang peguam yang berumur 50 tahun.

“Kejadian berpunca apabila keadaan sesak berlaku di lobi Mahkamah Tinggi Shah Alam semasa pasukan peguam sedang menuju ke kamar mahkamah, manakala petugas media sedang membuat liputan bagi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan,” katanya.

Katanya kedua-dua lelaki itu telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Shah Alam dengan jurugambar berkenaan mengalami luka calar di leher dan lengan, manakala peguam tersebut mengalami luka di dahi.


(Kekecohan dan pertengkaran yang berlaku di lobi bangunan Mahkamah Tinggi Shah Alam
melibatkan seorang peguam dan jurugambar)  

Beliau berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan, dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sebarang maklumat berkaitan kes tersebut, boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes Insp Muhamad Ridzuan Ibrahim di talian 013-3050856.

Terdahulu media melaporkan, kekecohan dan pertengkaran telah berlaku di perkarangan kompleks mahkamah berkenaan melibatkan seorang peguam mewakili suspek pembunuhan Nazrin, Samirah Muzaffar dan seorang jurugambar. -BERNAMA

Media Baharu