fb fb fb fb fb

Perlis jadi negeri rintis JPKKP

ARAU, 5 April- Perlis bakal menjadi negeri pertama yang melantik Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dalam masa terdekat berdasarkan komposisi sedia ada sebelum ini.

Keputusan tersebut dicapai susulan pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi yang merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman.

Menurut Rozabil, proses pelantikan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat dan JKKKP tersebut bukan bertujuan untuk mewujudkan pertindihan fungsi dengan JKKK lantikan negeri, sebaliknya akan membantu masyarakat setempat mendapatkan perkhidmatan lebih baik daripada peringkat kepimpinan setempat.

"Setiap daripada cawangan kampung itu, kita akan ada penubuhan JPKKP. Kita mewakili kerajaan Persekutuan,bagaimana kerajaan negeri boleh melaksanakan MPKK itu.

Saya serah kepada kerajaan negeri atas kebijaksanaan mereka tapi kita akan buat cara kita dan ini akan mewakili kerajaan Persekutuan di dalam negeri Perlis," kata Rozabil kepada pemberita di sini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau menyatakannya kepada media selepas pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Peringkat Perlis.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathulbari Mat Jahya dan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais.


(FOTO RTM)

 

Media Baharu