fb fb fb fb fb

KKDW komited perkasa TVET, penuhi permintaan industri

ARAU, 5 April- Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan terus diperkasa menerusi agensi-agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi memenuhi permintaan industri dan penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Langkah itu juga selaras dengan globalisasi ekonomi berasaskan kemajuan teknologi dan mobiliti tenaga kerja global.

KKDW akan memberi tumpuan kepada para pelajar di kawasan desa agar mereka mampu bersaing dalam pasaran kerja setelah menjadi graduan TVET dengan kelebihan kemahiran teknikal.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menzahirkan keyakinan bahawa jurusan TVET mampu diperluaskan dalam jurusan tahfiz dan kerjasama tersebut akan terus diperkukuh dan ditambah baik berdasarkan keperluan pasaran kerja semasa.

"Kebolehpasaran pekerjaan mereka melebihi 90%. Ini harus dipertingkatkan malah sesetengah TVET yang memberikan perhatian terhadap penyelenggaraan kapal terbang, tahap kebolehpasaran pekerjaan mereka ialah 98.4%.

Inilah yang mahu kita buktikan kepada masyarakat bahawa pelaburan yang dilakukan pihak kerajaan melalui TVET khususnya KKDW akan memberikan keberhasilan yang baik," kata Zahid kepada pemberita pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Peringkat Perlis Di Pusat Kegiatan Masyarakat (KEMAS) Simpang Empat, Perlis.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Menteri KKDW, Datuk Hajah Rubiah Haji Wang serta Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Ramlan Harun.

Pada majlis tersebut beliau turut menyantuni 150 anak-anak yatim dari seluruh Perlis dan menyampaikan Kit Peralatan Quick Win KEMAS kepada 60 peserta kemahiran dibawah kelolaannya.


(Foto Hiasan)

Media Baharu