fb fb fb fb fb

Jangan jadikan masjid medan politik - Agong

(Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah)

BACHANG, 5 April- Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar umat Islam terus menjaga keharmonian serta kesucian institusi masjid agar tidak menjadi medan politik oleh mana-mana pihak.

Baginda mahu masjid menjadi sebuah institusi yang cukup mulia, sekali gus menjadi contoh kepada agama lain.

"Kita tidak mahu adanya institusi masjid dijadikan tempat berpecah belah. Kita semua harus menentukan keharmonian masjid agar tetap dipelihara oleh kita umat Islam, bukan terletak pada pihak pemimpin semata-mata dan lebih penting ialah kariah masjid berkenaan.

"Saya akan sentiasa mengingatkan supaya masjid tidak boleh dicampur dengan unsur-unsur politik, waima sesiapa sekalipun," titahnya pada Majlis Pemasyhuran Masjid Ar-Razzaq dan Majlis Berbuka Puasa di sini.

Hadir sama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan turut diiringi Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut mengucapkan tahniah di atas pelantikan Datuk Seri Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 serta menzahirkan ucapan terima kasih kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang menguruskan lawatan Seri Paduka ke negeri berkenaan sebelum ini.

Pada majlis berkenaan, Seri Paduka berkenan menandatangani plak pemasyhuran masjid itu serta menyampaikan sumbangan kepada 100 penerima.

Seri Paduka berdua juga berkenan menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama rakyat jelata.

(Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) dan Tunku Azizah Aminah
Maimunah Iskandariah (kanan) 
berkenan menyampaikan
sumbangan kepada 100 penerima)

Media Baharu