KANGAR, 14 Mei – Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2025 peringkat Negeri Perlis yang dijadualkan berlangsung pada 17 dan 18 Mei ini di Dataran Boulevard Kampus Uniciti Alam, UniMAP Titi Tinggi dijangka menarik kehadiran lebih 35,000 pengunjung, terutamanya dalam kalangan belia negeri itu.
Program dua hari itu merupakan anjuran bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis dengan kerjasama strategik Majlis Belia Negeri Perlis (MBNPs), yang bertujuan memperkasakan penyertaan serta peranan belia dalam pembangunan negeri dan negara.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis, Musa Salim berkata lebih 40 aktiviti pelbagai bentuk telah disusun sepanjang penganjuran sambutan tersebut bagi mengetengahkan penglibatan menyeluruh golongan belia.
Antara pengisian utama program termasuklah Libat Urus dan Bimbingan Kelab Belia, Promosi Gaya Hidup Rakan Muda, Himpunan Motosikal, Pertandingan Kapcai Cantik, Karnival Kerjaya, pelbagai pertandingan sukan serta kehadiran vendor jualan.
“Selain itu, turut diadakan ialah acara hiburan dan kebudayaan seperti Battle of The Band, persembahan buskers, Persembahan Budaya Tunas Belia, Forum Kesihatan Mental dan pelbagai lagi aktiviti berimpak tinggi,” katanya dalam sesi Sembang Santai Sambutan Hari Belia Negara menerusi siaran Perlisfm, di sini.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Negeri Perlis, Jeffry Hassan berkata sebanyak tujuh teras utama telah digariskan menerusi Visi MBNPs 2025-2030 bagi menjamin pembangunan belia yang seimbang dari aspek ekonomi, sosial, mental, akhlak, pendidikan dan kepimpinan.
Tujuh teras tersebut ialah Pendidikan dan Kemahiran; Kenegaraan dan Perpaduan Nasional; Kesihatan dan Kesejahteraan Hidup; Pembangunan Ekonomi dan Keusahawanan; Penstrukturan Holistik Pembangunan Belia; Kepimpinan dan Kesukarelawanan serta Pemerkasaan Dataraya Pertubuhan Belia.