KELANA JAYA, 14 Mei- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan jurulatih berpengalaman dari Brazil, Joel Cornelli sebagai ketua jurulatih baharu pasukan bola sepak wanita kebangsaan.
Beliau menggantikan Soleen Al-Zoubi yang kini diberi peranan sebagai Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita FAM.
Pelantikan ini merupakan langkah strategik FAM dalam memperkukuh struktur kejurulatihan skuad Malayan Tigress seiring dengan visi untuk melonjakkan prestasi skuad wanita negara di peringkat serantau dan antarabangsa.
Cornelli memiliki pengalaman lebih dua dekad dalam bidang kejurulatihan bola sepak, termasuk penglibatan dengan beberapa kelab profesional serta program pembangunan di Ametika Selatan, Asia dan Asia Tenggara.
Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob yang juga Exco FAM berkata, pelantikan Cornelli adalah penting bagi memperkuatkan lagi Malayan Tigress seterusnya dapat memberi saingan di pentas antarabangsa.
"Kita berharap skuad ini layak ke peringkat separuh akhir pada Sukan SEA di Bangkok pada Disember ini, Insya-Allah.
"Di bawah bimingan Joel, kami ingin melihat corak permainan yang berbeza, bukan sekadar bermain dengan gaya biasa.
"Para pemain sangat teruja dengan kehadiran jurulatih baharu. Semoga Joel juga bersemangat untuk memimpin Malayan Tigress," katanya pada sidang media di Wisma FAM, di sini hari ini.
Sementara itu, Cornelli dalam kenyataan sulungnya menzahirkan setinggi-tinggi terima kasih kepada barisan kepemimpinan FAM.
"Saya rasa mereka (pemain) mempunyai potensi. Saya nampak ada beberapa pemain yang mempunyai kemahiran dan kualiti yang baik. Saya fikir, sudah tentu kita akan berdepan dengan pasukan yang kuat,
"Kami cuba yang terbaik untuk menyusun pasukan. Pasukan ini sudah teratur, tetapi saya masukkan falsafah saya, cara permainan dan saya yakin kami boleh membentuk pasukan yang kompetitif.
"Kami ada empat perlawanan sebelum AFC. Jadi, masanya tidak lama, namun saya rasa tempoh itu cukup untuk menyusun pasukan dan menyerlahkan prestasi yang baik di AFC," katanya pada sidang media pertamanya di Wisma FAM.
Skuad Malayan Tigress dijadualkan memulakan kem latihan pusat pertama bagi tahun 2025 pada 21 Mei ini.
Mereka akan mengharungi perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Bhutan dan Hong Kong di Bhutan sebelum beraksi pada Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 di Dushanbe, Tajikistan.