KUALA LUMPUR, 14 Mei – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melarang sebarang aktiviti penerbangan dron sepanjang penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) berkuat kuasa sepanjang tempoh 14 hingga 19 Mei ini.
Arahan itu termasuk dalam tempoh latihan dan pertunjukan udara sebagai langkah memastikan keselamatan serta kelancaran operasi pesawat yang terlibat.
Larangan turut melibatkan kawasan Langkawi dan Alor Setar, ketika latihan pertunjukan udara dijalankan, serta semasa acara utama berlangsung dari 20 hingga 24 Mei di Langkawi.
“Larangan ini penting bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, khususnya yang membabitkan aspek keselamatan orang awam dan sekuriti pelbagai jenis pesawat yang sedang menjalani latihan serta pertunjukan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menerbangkan dron di kawasan terlibat demi keselamatan dan kelancaran LIMA’25. Ini termasuk kawasan sekitar ruang udara Langkawi dan Alor Setar sepanjang tempoh dinyatakan,” menurut CAAM menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Jelas kenyataan itu, sebarang penerbangan atau pengendalian dron boleh mendatangkan bahaya kepada awam atau harta benda.
“Sehubungan itu, orang awam diingatkan supaya mematuhi larangan berkenaan bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang,” menurut kenyataan itu.