fb fb fb fb fb

Trak FRU terlibat kemalangan di Teluk Intan diselenggara dengan baik

Datuk Seri Saifuddin menyantuni isteri mangsa kemalangan, Haswati Rosdi 44 ketika hadir menziarah keluarga anggota tersebut/BERNAMA

IPOH, 14 Mei - Trak digunakan oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan tragis di Jalan Chikus–Sungai Lampam di Teluk Intan semalam, disahkan mempunyai rekod penyelenggaraan yang baik.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution menegaskan, meskipun berusia lebih 20 tahun, kenderaan jenis Combat Vehicle itu masih selamat berada di atas jalan raya.

Menurutnya, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang andaian berkaitan insiden tersebut.

"Trak yang digunakan mempunyai rekod penyelenggaraan yang baik. Walaupun umurnya lama sejak 1997, tetapi rekod penyelenggaraannya tiada masalah dan boleh digunakan di jalan raya.

"Masih terlalu awal untuk kita jangka sama ada kemalangan itu berpunca daripada kesilapan manusia membabitkan pemandu lori pasir atau lain-lain. Biarkan pasukan penyiasat tentukan. Tetapi, komitmen untuk menambah baik semua aset bukan saja polis, tetapi juga agensi-agensi di bawah KDN menjadi keutamaan kami," katanya.

Datuk Seri Saifuddin berkata demikian selepas menziarahi keluarga Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif di Blok A Markas FRU Unit 5 Ipoh Sungai Senam, di sini. Beliau menyantuni isteri allahyarham, Haswati Rosdi 44 dan beberapa ahli keluarga lain.

Kemalangan yang berlaku di Teluk Intan itu meragut sembilan nyawa anggota FRU.

Mengulas lanjut beliau menambah, mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju untuk memberi tempoh sebulan kepada Pasukan Petugas Khas (Task Force) yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan bagi menyiasat insiden kemalangan tragis itu sebelum laporan lengkap dibentang kepada kabinet.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN