PUTRAJAYA, 14 Mei – Kerajaan sedang menyelaras kenyataan rasmi susulan keputusan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang memutuskan Rusia bertanggungjawab terhadap insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh pada 2014.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Kementerian Pengangkutan kini bekerjasama dengan Wisma Putra bagi memastikan kenyataan yang akan dikeluarkan kelak selaras dengan dasar luar negara.
"Jemaah Menteri telah meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh ICAO berkaitan penembakan pesawat MH17 pada Julai 2014. Menteri Pengangkutan telah memaklumkan bahawa satu kenyataan media akan diterbitkan sebagai respons dan kita boleh jangkakan dalam masa terdekat." katanya pada sidang media mingguan Kabinet di Kementerian Komunikasi, hari ini.
Terdahulu, ICAO dalam keputusannya pada Selasa memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab dalam insiden yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal ketika pesawat MH17 ditembak jatuh di ruang udara Ukraine.