fb fb fb fb fb

Perkukuh akidah, pelihara akhlak dan bina keluarga yang harmoni

Program motivasi mestilah berlandaskan ajaran Islam yang sahih. - IKIM

KUALA LUMPUR, 12 Julai - Setiap program motivasi atau usaha pembinaan diri mestilah berlandaskan ajaran Islam yang sahih serta mengangkat nilai moral dan akhlak yang terpuji.

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) memandang serius isu program motivasi dan pembangunan diri yang mencetuskan kebimbangan awam kerana melibatkan isu kekeluargaan dan kesejahteraan individu.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah IKIM, Profesor Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil menyatakan kebimbangan pendekatan yang menggunakan istilah seperti kasih sayang atau kebahagiaan tanpa berpaksikan syariat, diselitkan pula dengan unsur falsafah sesat serta budaya yang bercanggah dengan akidah dan akhlak Islam.

IKIM menegaskan bahawa Islam adalah agama yang lengkap merangkumi semua aspek kehidupan termasuk hubungan peribadi, keluarga dan masyarakat. Oleh itu, segala bentuk program motivasi mesti berasaskan ajaran Islam yang sahih dan membawa nilai moral yang baik.

Justeru, ia wajar ditolak dan ditangani secara tegas oleh pihak berkuasa agama kerana turut memberi ancaman serius terhadap kestabilan masyarakat dan masa depan generasi akan datang. 

Beliau menyeru umat Islam di negara ini agar sentiasa berwaspada terhadap pengaruh yang bertentangan dengan ajaran Islam sebaliknya memperkukuh akidah, memelihara akhlak dan membina keluarga yang harmoni dan penuh kasih sayang demi melahirkan generasi beriman dan bertamadun. - IKIM

HASRON BIN HASSAN