KUALA TERENGGANU, 12 Julai - Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu memasuki hari terakhir penganjurannya hari ini.
Sehingga semalam, hampir 58,500 pengunjung hadir bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan.
Jumlah itu dijangka terus meningkat, dengan anggaran 15,000 pengunjung hadir hari ini, sekali gus melepasi sasaran awal seramai 25,000 orang.
Pelbagai pengisian menarik disediakan untuk rakyat, antaranya Program Jualan Rahmah MADANI, penukaran topi keledar percuma, Kaunter Diskaun Saman Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta karnival kerjaya untuk lepasan sekolah.
Pengunjung juga berpeluang mendapatkan perkhidmatan secara terus di 24 kaunter agensi kerajaan yang terlibat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan majlis penutup pada pukul 12.30 tengah hari ini di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu.
Beliau turut akan menyerahkan 10 unit Peranti MADANI (MADANI PERMAI) kepada pelajar cemerlang SPM 2024 dalam kalangan penerima Ahli Isi Rumah (AIR) eKasih yang mendapat tawaran ke Institusi Pengajian Tinggi.
Selain itu, dokumen Peruntukan Penyenggaraan Jalan Persekutuan Seluruh Negara 2024 juga akan diserahkan.
Perdana Menteri dijadual mengadakan sesi tinjau mesra bersama rakyat serta melawat reruai pameran dan premis perniagaan di Pasar Kedai Payang.