fb fb fb fb fb

Inisiatif MADANI bawa perubahan Kampung Padang Satu

Foto MKN Kedah

BUKIT KAYU HITAM, 12 Julai - Kampung Padang Satu, sebuah perkampungan kecil yang terletak di sempadan utara negara, kini menyaksikan perubahan ketara hasil pelaksanaan inisiatif Kampung Angkat MADANI yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri.

Inisiatif itu bukan sekadar menaik taraf infrastruktur, sebaliknya mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan kemajuan, keselesaan dan kesejahteraan dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat, tanpa mengira lokasi.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata, Kampung Padang Satu di Bukit Kayu Hitam telah dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI 2024, berdasarkan kedudukannya yang strategik berhampiran sempadan dan selaras dengan peranan MKN dalam mengurus keselamatan serta kesejahteraan kawasan sempadan.

"Sebanyak RM2.5 juta telah disalurkan untuk pembangunan infrastruktur di kampung ini.

"Antara projek fizikal yang telah dilaksanakan termasuk naik taraf enam Projek Jalan Perhubungan Desa (JPD); Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) termasuk retikulasi; pembinaan dan naik taraf dewan terbuka serta dewan orang ramai.

"Ini termasuk naik taraf ruang solat utama surau, pagar surau dan dewan; pembinaan taman permainan; pemasangan lampu solar; dan pembinaan papan iklan keselamatan dan mercu tanda kampung," katanya menerusi kenyataan.

Selain itu, lapan program bukan fizikal turut dilaksanakan bagi memperkukuh jalinan sosial dan semangat komuniti.

"Antaranya, Program Prihatin Komuniti Melalui Inisiatif Kampung Angkat MADANI, Kampung Padang Satu; Ceramah Jiwa Merdeka: Keselamatan Umat, Keselamatan Negara; Pertandingan Rumah Ceria, Jiwa Merdeka; Sambutan Kemerdekaan Ke-67 Peringkat Kampung Padang Satu; dan Taklimat Peranan Komuniti Dalam Memelihara Keselamatan Negara," katanya lagi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM