KUALA LUMPUR, 25 Ogos- Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menambah lima perkhidmatan KTM Komuter sektor Lembah Klang bagi memudahkan orang ramai menyertai sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka, 31 Ogos ini.
KTMB dalam kenyataan di sini memberitahu dua perkhidmatan tambahan di laluan Pulau Sebang ke Batu Caves akan disediakan pada 4.35 pagi dan 5.05 pagi pada hari itu.
Selain itu, KTMB turut menyediakan perkhidmatan dari Pelabuhan Klang ke Tanjung Malim pada 5.20 pagi dan 5.50 pagi serta dari Tanjung Malim ke Pelabuhan Klang pada 5.15 pagi.
"Inisiatif ini adalah sebagai tanda sokongan KTMB kepada pihak kerajaan sempena sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan tahun ini setelah dua tahun tidak dapat disambut akibat pandemik COVID-19," menurut KTMB.
KTMB menasihatkan pengguna untuk merancang perjalanan lebih awal dan mendapatkan maklumat semasa pergerakan tren melalui aplikasi MyRailtime, laman sesawang rasminya atau dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB menerusi talian 03-22671200.-BERNAMA
(KTMB memberitahu dua perkhidmatan tambahan di laluan Pulau Sebang ke Batu Caves
akan disediakan pada 4.35 pagidan 5.05 pagi pada 31 Ogos/FB KTM BERHAD)