ISKANDAR PUTERI, 25 Ogos- Kerajaan mengarahkan institusi perbankan di negara ini bertanggungjawab terhadap kehilangan wang dalam simpanan pelanggan, sekiranya ia berlaku akibat kecuaian insititusi berkenaan.
Timbalan Menteri Kewangan Satu, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, kementeriannya dan bank negara akan memantau perkara tersebut dan ia juga sudah beberapa kali dibangkit dan dibahas pada sesi Sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.
Menurutnya, individu yang menjadi mangsa perlu membuat laporan polis serta memaklumkan segera kepada bank terlibat.
"Sesiapa sahaja yang merasakan mereka dianiaya mereka boleh melaporkan samada kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau terus kepada bank, itu prosedur yang sedia ada, saya pasti kita akan mengarahkan institusi terbabit untuk melihat jika sekiranya kecuaian itu berpunca daripada mereka, mereka perlu bertanggungjawab," katanya.
(Datuk Mohd Shahar Abdullah (tengah) menyaksikan majlis menandatagani
memorandum persefahaman (MoU) pembangunan Sukan Dron di Medini)
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatagani memorandum persefahaman (MoU) pembangunan Sukan Dron di Medini, di sini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.
Kerjasama tersebut bagi membangunkan program sukan dron menerusi Akademi Kecemerlangan Sukan Dron ( AKSADRON) yang bermatlamat membangunkan bakat tempatan sukan dron berprestasi tinggi di hub wilayah Semenanjung Selatan.