BANDAR SAUJANA PUTRA, 8 Ogos -Malaysia berada pada kedudukan ketiga di peringkat global dalam penawaran pengajian kursus jangka pendek atau 'Micro-credentials'.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, penawaran pendidikan secara 'micro-credentials' itu memberi peluang kepada individu untuk mendapatkan akses pendidikan tinggi mengikut masa dan kemampuan masing-masing; tanpa perlu bergantung kepada sistem pendidikan tradisional.
Jelasnya, pendekatan tersebut menjadikan sektor pendidikan tinggi menjadi lebih inklusif, fleksibel dan selari dengan keperluan pasaran kerja masa kini.
"Micro-credential ini adalah "the way forward" untuk pendidikan, bukan sahaja di negara ini malah di seluruh negara. Micro-credential bermaksud kita lari daripada konsep tradisional pendidikan yang sangat konservatif.
"Contoh kalau kita ambil Ijazah Sarjana Muda 4 tahun secara berterusan, tapi apabila kita mengadakan micro-credential ini, kita boleh buat pecahan (unbundle), kita buat di dalam sistem modular terpulang kepada pelajar tersebut untuk mengikut masa yang sesuai untuk mereka.
"Micro-credential ini memang antara kaedah untuk kita membuat 'upskilling' dan 'reskilling' pekerja-pekerja kita, terutama sektor swasta dan ini mendapat sambutan yang amat baik," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Verifikasi Kualiti (QVC) bagi program 'Stand-Alone Micro-Credential' (SAMC) di Universiti MAHSA Kampus Bandar Saujana Putra.
Universiti MAHSA secara rasmi diiktiraf sebagai universiti swasta pertama di Malaysia yang diberikan kepercayaan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Menerusi pelantikan itu, Universiti MAHSA menjadi pusat penanda aras kebangsaan yang akan memainkan peranan penting dalam menjamin piawaian kualiti dan kredibiliti penyampaian Micro-credentials oleh penyedia pendidikan di Malaysia.
Pengerusi Eksekutif Universiti MAHSA, Tan Sri Datuk Dr Mohamed Haniffa Abdullah menyifatkan lantikan QVC itu sebagai satu pengiktirafan buat institusi tersebut.
Beliau turut menyatakan komitmen memastikan setiap 'Micro-credentials' yang disahkan akan dijamin daripada segi kualiti, kredibiliti dan nilai bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pensijilan alternatif.
"Kalau misalnya satu kolej di Banting atau di Klang, perlu hantar kepada kita dan kita sahkannya dan bagi surat kita hantar ke MQA. Jadi akan bagi satu surat program boleh teruskan dan pecahkan silibus. MAHSA jadi satu pusat untuk Quality Verification Centre antara kolej swasta dan universiti," katanya.
Pada majlis sama, Universiti MAHSA telah menandatangani Surat Niat (LOI) bersama empat rakan strategik antaranya Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), University of Portsmouth (UoP), Persatuan Institusi Pendidikan Swasta Malaysia (NAPEI) dan Pharmaniaga Berhad iaitu sebuah Syarikat Farmaseutikal terkemuka Malaysia.
Ia bagi memperkukuh dan menyokong pelaksanaan program Micro-credentials menerusi Pusat Verifikasi Kualiti (QVC) yang baharu ditubuhkan.