KUALA LUMPUR, 8 Ogos - Kejayaan rundingan tarif Amerika Syarikat (AS) bukan soal ‘kegembiraan’, sebaliknya usaha serius menangani krisis bagi melindungi ekonomi negara dan rakyat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan, fokus utama kerajaan adalah menyelamatkan mata pencarian rakyat, bukannya soal perasaan.
Menjawab kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau menyangkal dakwaan kerajaan kelihatan gembira dengan hasil perbincangan bersama Presiden AS, Donald Trump.
“Ini bukan soal ‘happy’ Tun. Ini soal tanggungjawab untuk menyelamatkan periuk nasi rakyat Malaysia,” katanya dalam satu hantaran media sosial.
Tengku Datuk Seri Zafrul menjelaskan, rundingan itu berjaya mengelakkan pengenaan tarif sebanyak 25 peratus oleh AS.
Kadar itu boleh menjejaskan eksport Malaysia bernilai lebih RM198 bilion serta mengancam 100,000 pekerjaan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).
Malaysia kini mendapat kadar tarif 19 peratus yang sama seperti negara ASEAN lain.
Mengulas tuduhan Tun Mahathir bahawa Malaysia menghapuskan semua cukai ke atas 11,000 produk dari AS sebagai balasan, Zafrul menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak tepat.
Katanya, hanya 60.4 peratus baris tarif dikenakan duti sifar, bukan 100 peratus seperti didakwa.
Beliau juga menafikan dakwaan kononnya Malaysia membuat perjanjian membekalkan nadir bumi secara eksklusif kepada AS.
Menurutnya, dasar sedia ada menetapkan semua nadir bumi mesti diproses dalam negara sebelum dieksport.