fb fb fb fb fb

Projek Idaman Bukit Jelutong: 1,260 pemilik terima kunci

FOTO RTM

SHAH ALAM, 8 Ogos - Sebanyak 1,260 unit kediaman mampu milik di bawah projek Idaman Bukit Jelutong, Shah Alam telah diserahkan kepada pemilik, hari ini.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, projek ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyediakan perumahan berkualiti dan mampu milik kepada rakyat.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kunci rumah Idaman Bukit Jelutong di Shah Alam, hari ini.

Pembeli rumah tersebut teruja apabila menerima unit kediaman baharu di lokasi strategik.

Mereka turut menyifatkan harga rumah RM250,000 sebagai tawaran luar biasa memandangkan kemudahan yang disediakan setaraf kondominium.

Projek Idaman Bukit Jelutong ini dibangunkan Gagasan Nadi Cergas Berhad dengan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad sebagai rakan strategik.

Setiap unit kediaman, berkeluasan 1,000 kaki persegi lengkap dengan perabot seperti televisyen, peti sejuk, kabinet dapur, almari pakaian, pemanas air dan pendingin hawa serta dua petak parkir.

Projek ini dibangunkan di atas tanah seluas 10.5 ekar dengan nilai RM304 juta dan berjaya disiapkan dalam tempoh tiga tahun, lebih awal daripada jadual asal.

SITI SALWA BINTI YUSOP