KUCHING, 8 Ogos – Kampung Tematu, Batu Kitang, Kuching menjadi destinasi pertama hentian konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 Peringkat Sarawak.
Menurut siaran media Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sarawak, kampung tersebut dipilih sebagai titik permulaan jelajah pada 2 Ogos lalu bagi menyemarakkan semangat patriotisme di peringkat akar umbi, khususnya dalam kalangan komuniti setempat.
Konvoi diketuai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kewangan, JaPen Sarawak, Mohamad Afzan Mohamad, melibatkan enam kenderaan pacuan empat roda dengan 17 peserta.
Turut serta, 40 motosikal berkuasa tinggi daripada Kelab Bornshakers dan Borneo Island Big Bike.
Majlis pelepasan di Kampung Tematu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang.
KMJG 2025 Peringkat Sarawak dilaksanakan JaPen Sarawak dalam lima fasa bermula 2 Ogos hingga 16 September 2025, merangkumi 22 lokasi hentian dari Lundu hingga Lawas, melibatkan jarak keseluruhan 1,810 kilometer.