KUALA LUMPUR, 19 November - Perkhidmatan Bursa Malaysia Berhad kembali beroperasi seperti biasa pada 11.34 malam tadi, selepas mengalami gangguan operasi perkhidmatan digital global, Cloudflare.
Bursa Malaysia menerusi makluman di media sosial rasmi menyatakan, isu teknikal itu berjaya diselesaikan dan semua perkhidmatan pulih sepenuhnya.
“Kami menghargai kesabaran sepanjang tempoh gangguan,” katanya.
Pengendali bursa tempatan itu semalam memberitahu platformnya tidak dapat diakses susulan gangguan global Cloudflare, syarikat infrastruktur dan keselamatan Internet global.
Kegagalan operasi perkhidmatan digital itu mengakibatkan jutaan pengguna di seluruh dunia gagal mengakses laman web popular, termasuk X selain laman web tempatan.