KUALA LUMPUR, 19 November - Pendekatan pembelajaran praktikal dan kos rendah membuktikan keberkesanan dalam meningkatkan minat pelajar terhadap Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di sekolah seluruh negara.
Menurut Presiden dan Pengasas Persatuan STEM Kebangsaan Profesor Emeritus Datuk Noraini Idris, model 'pembelajaran berasaskan praktikal' menjadi pemangkin utama kepada peningkatan penglibatan pelajar dalam subjek teras STEM A.
Keperluan negara terhadap bakat dalam bidang semikonduktor, kejuruteraan dan kecerdasan buatan (AI) menjadikan penguasaan Matematik Tambahan serta Sains Tulen semakin penting dan perlu dikuasai.
"Subjek Matematik Tambahan membantu seseorang itu mengikuti bidang semikonduktor, kejuruteraan atau kecerdasan buatan (AI). Ini kerana AI bergantung kepada pelbagai algoritma," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui peberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.
Program STEM di sekolah kini menekankan aktiviti mudah seperti tanaman sayur, kompos, agritek kecil dan makmal luar kelas, yang membantu pelajar memahami konsep Biologi, Kimia dan Fizik dengan lebih jelas.
Menurut Datuk Noraini, pendekatan itu mampu memupuk minat pelajar selain membuka ruang kepada inovasi dan keusahawanan.
"Ramai pelajar kita sudah mula memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) muda, sebab mereka cipta produk sendiri dan daftarkan harta intelek," jelasnya.
Sementara itu, Expo STEM Nasional 2026, yang akan berlangsung pada 11 dan 12 Februari di ibu negara, dijangka menjadi platform besar untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meneroka laluan kerjaya serta peluang pendidikan dalam bidang STEM.
Acara kemasukan percuma itu turut mengumpulkan agensi, industri, universiti dan rakan serantau ASEAN bagi mempamerkan teknologi serta inovasi terkini.
Gabungan pendekatan pembelajaran praktikal, sokongan industri dan pendedahan awal melalui ekspo mampu memperkukuh bakat STEM negara, sekali gus melahirkan generasi muda lebih bersedia menghadapi keperluan industri masa depan.