fb fb fb fb fb

Latihan integriti perkukuh budaya politik

Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis

KUALA LUMPUR, 19 November - Pembinaan budaya politik baharu perlu bermula dengan latihan integriti tersusun untuk ahli politik, selain mekanisme jelas dalam menilai janji pasca pilihan raya.

Menurut Pensyarah Kanan di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya yang juga Pegawai Integriti Bertauliah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis, rakyat kini semakin cakna terhadap integriti dan pemantauan janji calon.

Wakil rakyat wajar mengikuti modul pengukuhan integriti seperti penjawat awam dan sektor swasta bagi memastikan kepimpinan negeri lebih berprinsip dan bertanggungjawab.

"Ahli politik perlu lebih cakna akan isu integriti. Penjawat awam sudah ada modul pengukuhan seperti tadbir urus, integriti dan anti-rasuah, manakala sektor swasta mempunyai garis panduan liabiliti korporat. Jadi, ahli politik juga wajar mempunyai modul khas agar mereka turut peka" katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.

Dr Shamsinor turut mencadangkan sistem akauntabiliti seperti kad laporan wakil rakyat bagi menilai prestasi berdasarkan janji ketika berkempen.

Pendekatan itu diyakini mampu meningkatkan ketelusan dan disiplin politik selain melahirkan pemimpin berkarisma serta berjiwa amanah.

Setiap langkah dan dasar selepas pilihan raya akan menjadi ukuran awal kesungguhan pemimpin membawa aspirasi rakyat. Kepimpinan yang stabil dan berprinsip perlu mengekalkan momentum pasca kempen supaya keyakinan rakyat tidak terhakis, sekaligus memastikan perubahan politik sebenar berlaku di lapangan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI