SENDAYAN, 5 Oktober-Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyasarkan satu juta pencarum untuk caruman Orang Bekerja Sendiri (OBS) pada tahun ini.
Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PERKESO, Roshaimi Mat Rosely berkata, tren caruman menunjukkan peningkatan dari masa ke masa.
Justeru, pihaknya berharap dapat mencapai sasaran itu sekurang-kurangnya pada penghujung tahun ini.
"Perlindungan ni bersifat komprehensif kalau apa-apa berlaku kepada golongan 'wartawan sambilan ini, mereka akan dilindungi bawah PERKESO dan kadang-kadang caruman tidak begitu besar, tetapi faedah cukup besar kepada mereka yg ditimpa musibah", katanya demikian pada Majlis Libat Urus dan Jalinan Mesra Perkeso Bersama Media Negeri Sembilan di sini.
Dalam pada itu, seramai 693,969 pencarum aktif OBS yang berdaftar dengan Perkeso dicatatkan di seluruh negara setakat 27 September lepas.
Daripada jumlah tersebut sebanyak tiga peratus atau seramai 19,063 OBS aktif dicatatkan di Negeri Sembilan.
Sementara itu, Roshaimi berkata pihaknya turut mengadakan siri jelajah dan sesi libat urus dengan pengamal media di seluruh negara.
Jelas beliau, siri jelajah itu bertujuan mendekati pengamal media yang berperanan menyebar luas informasi berkaitan produk perkhidmatan di bawah PERKESO.
"Sebenarnya, program ini pernah diadakan sebelum ini. Tetapi konsep dia agak berbeza dan kita mewajibkan di setiap pejabat PERKESO untuk mewujudkan program sedemikian dan selain jelajah ini kami turut mewawarkan aktiviti yang akan kita dan rakan-rakan media adakan menerusi anugerah media yang akan dilaksanakan tahun depan", katanya.
Pada majlis tersebut, kira-kira 30 pengamal media dari Negeri Sembilan menyertai sesi libat urus bersama-sama PERKESO.
Siri jelajah itu telah diadakan di Perak, Sarawak, Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan.