fb fb fb fb fb

BUDI95 diperluas, pemandu e-hailing, pengendali bot terima kuota tambahan

Pemandu e-hailing akan menerima kuota tambahan subsidi petrol RON95, bermula 15 Oktober /FOTO FB FAHMI FADZIL

PUTRAJAYA, 1 Oktober- Pemandu e-hailing sepenuh masa akan menikmati had kelayakan tambahan subsidi petrol RON95.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, mereka tidak perlu memohon secara individu sebaliknya, kerajaan akan bekerjasama secara terus dengan Syarikat Pengendali e-hailing (EHO) bagi membuat permohonan berkumpulan, sekali gus memastikan kelancaran penyaluran subsidi.

Kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan kelayakan BUDI95 kepada warganegara yang merupakan pemilik bot berdaftar, tanpa memerlukan lesen memandu yang sah.

Kerajaan Persekutuan sedang bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri seperti Lembaga Sungai-sungai Sarawak dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah bagi mengenal pasti pemilik bot berdaftar.

Kenyataan itu juga menyebut, usaha itu sebagai langkah untuk menghargai golongan berkenaan yang menjadi antara nadi sistem pengangkutan awam negara.

Setakat jam 6 petang tadi, jumlah pembelian petrol RON95 bersubsidi melalui sistem BUDI95 telah merekodkan transaksi bernilai kira-kira RM84.2 juta ringgit melibatkan lebih 42.3 juta liter petrol RON95 digunakan rakyat.

Daripada jumlah tersebut, kerajaan telah menyalurkan subsidi sebanyak RM27.8 juta bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Sejak BUDI95 dilancarkan iaitu pada 27 September lalu, lebih 3 juta pengguna telah memanfaatkannya.

Keseluruhannya, jumlah transaksi petrol bersubsidi yang direkodkan ialah RM255.6 juta, dengan lebih 128 juta liter petrol digunakan dan subsidi berjumlah RM67 juta disalurkan.

Kementerian Kewangan menegaskan, kelancaran operasi BUDI95 kekal menjadi keutamaan kerajaan MADANI.

Program ini juga akan terus dipantau dan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan ia berjalan dengan lancar, telus dan adil.

Dengan langkah ini, kerajaan berharap BUDI95 benar-benar dapat meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya kumpulan pekerja gig dan komuniti luar bandar yang bergantung kepada pengangkutan air.

SITI NOORAIN ABDULLAH