fb fb fb fb fb

Kepercayaan digital teras pertumbuhan ekonomi dan inovasi negara - Gobind

Menteri Digital, Gobind Singh Deo/Foto Arkib BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Kerajaan komited membina ekosistem digital yang selamat dan dipercayai melalui pelaksanaan dasar-dasar utama seperti Peta Jalan AI Negara (AI Nation Roadmap), Dasar Awan Negara (National Cloud Policy) serta pengukuhan rangka kerja tadbir urus data.

Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, ia bakal menjadi komponen utama terhadap Strategi Nasional Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data yang akan diperkenal.

Tambahnya, kepercayaan digital merupakan asas utama kepada pertumbuhan ekonomi, inovasi serta kesejahteraan rakyat.

“Apa yang ingin kita lakukan ialah meneruskan transformasi digital. Kita mahu mewujudkan platform yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk memperkasa diri mereka, supaya mereka benar-benar dapat memanfaatkan alatan dan teknologi digital bagi memperoleh kelebihan.

Namun pada masa yang sama, kita mahu memastikan bahawa sistem yang kita bangunkan serta sistem yang diterima pakai masyarakat adalah selamat,” kata Gobind hari ini.

Beliau ditemui pemberita pada sesi Fireside Chat sempena CyberDSA 2025 di MITEC, di sini.

Sesi itu turut menyoroti peranan baharu CyberSecurity Malaysia, yang kini bukan sahaja berfungsi sebagai penjaga teknikal, tetapi turut diberi tanggungjawab sebagai pemacu strategik kepada ekosistem kepercayaan digital negara.

Agensi itu dilihat menjadi teras dalam membimbing inovasi, mengintegrasikan aspek keselamatan dalam inisiatif nasional, serta memperkukuh keyakinan awam terhadap sistem dan perkhidmatan digital.

CyberDSA 2025 dengan tema “Menerajui Masa Depan: Membina Negara Digital yang Berdaya Tahan dan Dipercayai” menjadi platform serantau mempamerkan kemajuan keselamatan siber, pertahanan dan kepercayaan digital.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM