fb fb fb fb fb

Gelombang ketiga flotila teruskan pelayaran ke Gaza

Kapal Conscience berlepas dari Porto Otranto, Itali /FOTO FB Freedom Flotilla Coalition

KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Gelombang ketiga flotila kemanusiaan sedang menuju ke Gaza, dalam usaha memecahkan sekatan haram Zionis, kata aktivis, Prof Dr Mohd Afandi Salleh.

Beliau yang menyertai gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dalam misi itu berlepas dari Porto Otranto, Itali menaiki kapal Conscience bersama pakar perubatan serta wartawan dari lebih 20 negara.

“Misi kapal ini untuk memecah masuk kepungan yang dibuat Israel.

"Selain itu, kami juga membawa ubat-ubatan, makanan bayi, dan flotilla selain memberi liputan meluas mengenai misi kali ini,” katanya menerusi penstriman langsung Tiktok bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.

Delegasi Malaysia terdiri daripada sembilan aktivis, termasuk empat doktor perubatan dan seorang wartawan, menjadikan Malaysia antara peserta terbesar kumpulan itu selepas Turkiye dalam misi flotilla ini.

Sebelum ini, tiga kapal FFC pernah dihalang oleh rejim Zionis daripada belayar ke Gaza termasuk kapal Conscience yang dibom menggunakan dron berhampiran perairan Malta pada Mei lalu, manakala kapal Madleen dan Handala dipintas tentera rejim masing-masing pada Jun dan Julai.

Tindakan rejim itu menyerang atau menahan kapal flotilla di laut antarabangsa jelas mencabuli undang-undang antarabangsa, tegasnya.

“Israel sebenarnya akan langgar apa sahaja undang-undang termasuk undang-undang antarabangsa. Dalam pengalaman saya pada 2018, kami ditahan pada jarak 47 batu nautika daripada pantai Gaza walaupun berada di laut antarabangsa,” katanya yang juga Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan pernah ditahan tentera Israel pada 2018.

Gelombang ketiga flotilla ke Gaza kali ini disertai 10 buah bot sudah berlepas pada 27 September lalu dari Itali di bawah FFC dan TMTG, manakala kapal Conscience dilepaskan di Porto Otranto, pada Selasa.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN