fb fb fb fb fb

Kematian remaja perempuan tiada unsur jenayah, peras ugut

Datuk Rusdi Mohd Isa

PUTRAJAYA, 5 Oktober- Tiada sebarang unsur jenayah dan peras ugut ditemukan membabitkan insiden seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun maut setelah terjatuh dari bangunan di sebuah sekolah di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Bagaimanapun, jika ada bukti seumpamanya ditemukan, kes berkenaan akan dipindahkan kepada kes jenayah.

"Dalam kes bunuh diri ni, peraturan am kita akan buka,apa pun kematian mesti ada 'sudden death report' punya siasatan.

"JIka ada unsur jenayah, kita akan siasat. Kita kena tahulah, kenapa dia bunuh diri, kenapa dia terjun, kenapa dia buat. Jadi kita perlu tahu punca yang menyebabkan dia (mangsa) membunuh diri.

"Sekiranya disebabkan unsur-unsur ceti haram, pemerasan. Kita akan buat siasatan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pelancaran Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) di Kompleks Kejiranan Presint 11, di sini.

Dalam pada itu beliau menegaskan kes bunuh diri termasuk dalam kategori kes sensitif kerana ia melibatkan perasaan ahli keluarga mangsa.

Sehubungan itu, jika ada keperluan, pihaknya hanya boleh mengesahkan perkara itu, namun tidak akan mendedahkan butiran lanjut bagi menjaga sensitiviti ahli keluarga.

Dalam kejadian Selasa lalu, seorang remaja perempuan terjatuh dari tingkat lapan bangunan sebuah sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI