fb fb fb fb fb

Johor sasar 200,000 pengeluaran haiwan ternakan menjelang 2027

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip/Foto RTM

BATU PAHAT, 5 Oktober-Kerajaan Negeri Johor menyasarkan 200,000 pengeluaran haiwan ternakan seperti lembu, lembu pedaging dan kambing biri-biri menjelang 2027.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, sehingga kini, pihaknya berjaya mencapai pengeluaran ternakan sebanyak 152,000 ekor sehingga September lalu.

Pelbagai langkah juga dilakukan bagi mencapai sasaran berkenaan termasuk melaksanakan pelbagai aktiviti dengan sokongan Jabatan Veterinar dan agensi lain termasuk usahawan.

"Jadi, langkah pertama kita minta mereka mendaftar. Keduanya, Jabatan Veterinar telah membuat pemantauan dari masa ke semasa ke ladang-ladang ternakan dan kita membantu penternak-penternak menambah kapasiti daripada segi keselesaan dan sebagainya.

"Ketiganya, seperti yg saya sebut tadi, tahun lepas kerajaan negeri telah memperuntukkan RM500,000 melibatkan 17 orang penternak",katanya demikian selepas Majlis Perasmian Pusat Penyembelihan dan Pemprosesan PPK Sri Medan dan Penyampaian Insentif Keterjaminan Makanan Negeri Johor di Pusat Penyembelihan dan Pemprosesan Bebiri, Sri Medan, di sini.

Sebanyak RM850,000 diperuntukkan Kerajaan Johor untuk membina pusat penyembelihan berkenaan yang mampu memproses lima hingga 30 ekor kambing sehari. 

Dalam majlis sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam ucapannya memaklumkan sebanyak RM54 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi membantu penternak dalam meningkatkan keterjaminan makanan di Johor bermula 2022 hingga tahun ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD