fb fb fb fb fb

RM250,000 bantuan insentif pendidikan disalurkan di Sungai Buloh

Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan

SUNGAI BULOH, 5 Oktober- Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Sungai Buloh menyalurkan sebanyak RM250,000 bantuan insentif pendidikan kepada sekolah menengah kebangsaan, kolej vokasional dan pelajar di sekitar Sungai Buloh.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, bantuan ini dapat meningkatkan tahap pencapaian pelajar melalui pelaksanaan program pendidikan.

"Banyak bantuan yang telah dihulurkan berkaitan program program yayasan bekerjasama dengan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Sungai Buloh, hampir 393000 setakat hari ini telah disalurkan dan disumbangkan kepada pelajar pelajar di parlimen sungai buluh," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Insentif Pendidikan di sini.

Pada majlis itu, tujuh sekolah menengah kebangsaan di sekitar Sungai Buluh menerima tajaan tuisyen rakyat bernilai RM70,000, manakala, kolej vokasional menerima bantuan RM10,000.

Bantuan berkenaan untuk meningkatkan mutu pendidikan sepanjang sesi persekolahan serta membantu pelajar daripada kalangan asnaf dan keluarga B40.

Dalam pada itu peruntukan sebanyak RM481 juta untuk Projek Tebatan Banjir Sungai Damansara telah diluluskan sebagai usaha mengurangkan risiko banjir di kawasan Parlimen Sungai Buloh.

Ramanan berkata peruntukan berkenaan dapat membantu menguruskan isu air dan banjir secara holistik dan bersepadu.

Baru-baru ini, beberapa kawasan sekitar Sungai Buloh dilaporkan dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat pada Khamis.

Antara kawasan terjejas ialah di Paya Jaras, Kampung Melayu Subang, Merbau Sempak dan beberapa kawasan rendah.

"Setakat ini, memang kita mengikut turutan sedang dilaksanakan. Contohnya kita telah membina beberapa benteng untuk menahan air, namun berlaku hujan berturut-turut," katanya.

Tambahnya, bantuan seperti peralatan elektrik akan diberikan khususnya kepada penduduk terjejas banjir terutamanya warga (OKU).

Dalam perkembangan lain, projek tebatan banjir Sungai Subang hampir 60 peratus siap.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI