PERLIS, 1 Febuari - Usaha berterusan perlu digerakkan untuk terus memperkasa kemahiran kepimpinan kepada para pemimpin Pengakap khususnya dikalangan generasi muda yang masih bersekolah.
Mereka yang terdiri daripada guru-guru Pengakap ini perlu diberi pendedahan dan latihan kepimpinan untuk meningkatkan lagi kompetensi dan mestilah selari dengan perkembangan pendidikan kini.
(Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail)
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Presiden DiRaja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis bertitah, bagi mencapai sasaran berkenaan, Jabatan Pendidikan Negeri diseru untuk terus memberi sokongan sepenuhnya dalam usaha meningkatkan ilmu kemahiran kepimpinan untuk guru-guru Pengakap.
"Kejayaan dalam sesebuah organisasi memerlukan komitmen dan kerjasama daripada semua pihak dan berharap agar bersama-sama membantu memajukan pergerakan Pengakap di Perlis," baginda bertitah ketika menyempurnakan Majlis Penganugerahan Bintang dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis yang diadakan di Dewan Serbaguna, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis di Bukit Ayer, Sungai Batu Pahat.
Tuanku Syed Faizuddin Putra menganugerahkan Bintang-bintang dan Pingat-pingat Pengakap Perlis kepada 143 orang penerima termasuk lima orang dari negara jiran iaitu Thailand kerana jasa dan khidmat bakti mereka kepada Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis dan Pergerakan Pengakap.
Hadir mengiringi baginda ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Nasarudin Shamsudin dan Ketua Pesuruhjaya l Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis, Dr. Azmi Abdullah.