fb fb fb fb fb

Penguatkuasaan Akta A1646 bakal menyaksikan peningkatan penalti kesalahan jenayah hidupan liar

PUTRAJAYA, 1 Februari - Penguatkuasaan Akta A1646 bakal menyaksikan peningkatan penalti bagi kesalahan jenayah hidupan liar yang melibatkan beberapa kesalahan menyimpan, memburu dan menyeludup hidupan liar.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam kenyataan hari ini, akan menguatkuasakan 44 seksyen di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 [Akta A1646] bermula 1 Februari 2023.


(Foto FB Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia)

Peningkatan penalti bagi kesalahan menyeludup hidupan liar adalah perlu kerana ia merupakan jenayah yang serius yang menyebabkan hidupan liar iaitu sumber khazanah Negara yang tidak ternilai akan terancam akibat aktiviti haram ini.

Jenayah ini juga dikategorikan sebagai jenayah terancang yang berskala besar merentasi sempadan negara (transnational organised crime) dan ia merupakan jenayah yang serius dan perlu dihentikan.

Melalui peningkatan kadar penalti di bawah pindaan ini, ia akan memberi satu mesej yang jelas kepada penyeluduppenyeludup bahawa mereka perlu sedar dan berhenti menjalankan aktiviti-aktivitinya. Peningkatan penaliti dan tempoh pemenjaraan ini adalah bersifat mencegah (deterrent) bertujuan untuk memastikan hidupan liar terus kekal bagi generasi akan datang.

Kesalahan di bawah seksyen 71 iaitu “Mengimport, mengeksport, atau mengeksport semula hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas” (penyeludupan) menyaksikan jika seseorang itu disabitkan dengan kesalahan, boleh didenda sehingga satu juta ringgit dan dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun.

Seiring dengan penguatkuasaan pindaan Akta 716 ini, Jabatan PERHILITAN bertekad meneruskan operasi penguatkuasaan secara bersepadu iaitu Biodiversity Protection and Patrolling Programme – BP 3 di seluruh Semenanjung Malaysia.

Melalui program BP3 ini, program Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bersama-sama agensi penguatkuasaan kerajaan yang lain melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) dan Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) akan dilaksanakan.

Program ini juga melibatkan NGO seperti Malaysian Conservation Alliance for Tiger (MYCAT) yang terdiri daripada TRAFFIC Southeast Asia, Wildlife Conservation Society - Malaysia Programme (WCS), WWF, MNS, Pelindung dan RIMBA.

Program BP3 juga telah diperkukuhkan melalui pelantikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT), Orang Asli (OA) dan Orang Awam sebagai Renjer Hidupan Liar untuk membantu melaksanakan tugas-tugas operasi kawalan sempadan, rondaan dan penguatkuasaan di dalam kawasan perlindungan serta Hutan Simpan Kekal di seluruh Semenanjung Malaysia dalam menangani isu pencerobohan dan pemburuan haram.

Pihak Jabatan PERHILITAN berharap agar Wildlife Crime Bureau (WCB) yang telah ditubuhkan pada tahun 2022 di bawah PDRM dapat membantu aktiviti penguatkuasaan Akta A1646 ini.

Disamping itu, pengukuhan Wildlife Crime Unit di bawah Jabatan PERHILITAN juga akan dapat membantu mengukuhkan aktiviti penguatkuasaan akta ini bagi konservasi hidupan liar.

Sehubungan itu, Jabatan PERHILITAN turut menyeru orang ramai untuk mengambil maklum mengenai Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 [Akta A1646] yang berkuat kuasa pada 1 Februari 2023 dan bekerjasama menyalurkan maklumat sebarang aktiviti jenayah hidupan liar kepada Jabatan PERHILITAN.

Sebarang aduan dan maklumat berkenaan gangguan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan PERHILITAN melalui talian hotline PERHILITAN 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Media Baharu