KANGAR, 16 Mei- 25 titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dihimpun dan dibukukan.
Menurut Penulis Bersama Buku "Sirajus Siyadah", Dr Hazman Hassan, buku yang dinamakan sebagai "Sirajus Siyadah" itu menggambarkan perjalanan pemerintahan Baginda.
Ia merupakan simbolik bersempena dengan sambutan 25 tahun Jubli Perak pemerintahan Baginda sebagai Raja Perlis.
"Jadi, bersempena dengan 25 tahun pemerintahan Tuanku, apa yang kami lakukan ialah mengumpulkan 25 titah ucapan Tuanku yang dianggap paling signifikan.
"Kami turut menyediakan pengantar serta menyertakan gambar-gambar berkaitan.
"Secara tidak langsung, ia menggambarkan perjalanan pemerintahan Tuanku sepanjang hampir suku abad, dari awal pemerintahan sehinggalah ke zaman COVID-19 dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran program Wacana Wangsa Jamalullail: Zynatul Muluk yang diadakan di pejabat kesihatan Kangar, di sini.
Buku berkenaan dilancarkan pada program wacana berkenaan.
Wacana Wangsa Jamalullail diadakan setiap tahun sebagai simbolik kepada Hari Keputeraan Baginda Raja Perlis iaitu pada 17 Mei 2025.