SHAH ALAM, 16 Mei- Selaras komitmen untuk memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar dan mengurangkan pencemaran plastik sekali guna, kerajaan Selangor menganjurkan Kempen Bebas Plastik di kawasan pantai Bagan Lalang, Sepang pada 24 Mei ini.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaluddin berkata Bagan Lalang menjadi lokasi pertama daripada empat siri program yang telah dirancang di bawah Kempen Bebas Plastik 2025, dengan tiga yang lain pada Jun, Ogos dan Oktober membabitkan lokasi sekitar Selangor.
"Program ini adalah inisiatif melalui Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar sebagai langkah advokasi berterusan terhadap pengurangan penggunaan plastik, selain memperkasakan amalan kitar semula dan gaya hidup lebih mesra alam dalam kalangan masyarakat.
"Penganjuran kempen ini juga bertujuan mendidik orang ramai tentang kesan jangka panjang sisa plastik terhadap alam sekitar, ekosistem dan kesihatan awam, serta menggalakkan komuniti tempatan untuk lebih proaktif dalam pengurusan sisa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata antara segmen menarik menanti pengunjung sepanjang program itu ialah larian tiga kilometer, senamrobik, pameran agensi kerajaan, reruai makanan tanpa penggunaan plastik serta Trash to Can iaitu orang ramai boleh membawa barangan kitar semula untuk menerima insentif.
Beliau berkata selain itu, aktiviti menanam pokok dan pertunjukan fesyen bertemakan bebas plastik serta alam sekitar yang melibatkan penyertaan kanak-kanak.
"Sebagai usaha memastikan keberkesanan kempen ini, semua peniaga di tapak program tidak akan menggunakan beg plastik dan sebarang bekas plastik sepanjang program berlangsung.
"Pengunjung yang membawa bekas makanan dan minuman sendiri yang tidak berasaskan plastik pula akan menerima diskaun istimewa bagi setiap pembelian di reruai makanan," katanya.
Sehubungan dengan itu, Jamaliah mengajak seluruh masyarakat khususnya penduduk sekitar Sepang dan kawasan berdekatan untuk hadir beramai-ramai menyokong program terbabit.
Usaha sedemikian, katanya bukan sahaja mampu meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat, tetapi juga dapat membina komuniti lebih bertanggungjawab dan peka terhadap kelestarian alam semula jadi.- BERNAMA