fb fb fb fb fb

Perintah berkurung di perairan ESSZone dilanjutkan

TAWAU, 11 Mac - Pelaksanaan perintah berkurung melibatkan perairan tujuh daerah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang bermula 24 Februari lepas dan berakhir esok, dilanjutkan sehingga 26 Mac ini.

Kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata perintah dari pukul 6 petang hingga 6 pagi itu melibatkan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan serta Beluran.

(Kawalan ESSZone di perairan negara)

“Penduduk yang tinggal di kawasan terlibat dikehendaki berada di rumah, manakala orang luar tidak dibenarkan memasuki (atau berada) di kawasan tersebut dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurutnya perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terlibat tidak diceroboh pengganas, sekali gus mengancam keselamatan penduduk termasuk penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan serta pelancong asing yang melawat pulau peranginan.

"Perintah berkurung itu juga, akan memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan terhadap pergerakan bot dan menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada penduduk maritim, dengan kehadiran pasukan keselamatan" menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, semua Ketua Polis Daerah di ESSzone diberi kuasa mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak, bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak lain untuk melalui kawasan perintah berkurung itu.

 

Media Baharu