fb fb fb fb fb

Mangsa keempat, kelima tanah runtuh ditemukan meninggal dunia

AMPANG, 11 Mac - Mangsa keempat dan kelima tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Permai, di sini ditemukan meninggal dunia awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa keempat A Mahendran, 37, ditemukan di hadapan unit rumah bernombor sembilan di sini sekitar jam 11 malam tadi.

"Penemuan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang terbunuh adalah seramai empat orang manakala seorang warga emas berbangsa Cina dalam lingkungan 80-an terselamat dalam kejadian tersebut.

"Mangsa kelima seorang lelaki tempatan merupakan penghuni rumah bernombor tiga ditemukan di hadapan rumah.

"Lelaki itu ditemukan pada jam 1:55 pagi dan pemeriksaan dibuat pihak perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia," katanya dalam sidang media di lokasi operasi di sini, awal pagi Jumaat.

(ACP Mohamad Farouk pada sidang media di lokasi kejadian di Taman Bukit Permai)

 Beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menjalankan kerja pengesanan menggunakan unit anjing pengesan (K9) untuk memastikan tiada lagi mangsa yang tertimbus.

"Selesailah tugas-tugas mencari dan menyelamat (SAR) ini dan kerja pengesanan menggunakan K9 akan dijalankan.

"Sekiranya tiada apa-apa perkembangan terbaru, pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan jalankan tugas pembersihan," katanya.

Mohamad Farouk berkata, pihak polis akan menjalankan kawalan keselamatan 24 jam untuk memastikan tiada kecurian berlaku di kawasan terbabit.

Kesemua mangsa yang telah meninggal dunia telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Ampang untuk bedah siasat.

 

Media Baharu