fb fb fb fb fb

Peringati perjuangan kebebasan Keluarga Malaysia urus negara - PM

PUTRAJAYA, 30 Julai - Sambutan Hari Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang diadakan bagi memperingati perjuangan kebebasan yang dikecapi Keluarga Malaysia dalam mengurus pentadbiran negara sendiri setelah dijajah kuasa asing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun tidak lagi dibelenggu penjajah, namun Keluarga Malaysia sentiasa berdepan dengan cabaran luar yang boleh menggugat keharmonian yang terjalin selama ini.

Katanya, pandemik COVID-19 merupakan cabaran paling besar kepada Malaysia dan seluruh dunia sejak dua tahun lepas, namun negara dapat mengharunginya dengan baik disebabkan tindakan dan langkah-langkah tegas yang diambil kerajaan dalam menanganinya.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap melancarkan Bulan Kebangsaan
dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Dataran Putrajaya)

"Kini, kita dalam fasa peralihan ke endemik dan tanda-tanda pemulihan ekonomi kelihatan menjadi nyata dan Keluarga Malaysia mula kembali menikmati kesejahteraan hidup seperti sediakala," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bersyukur dan berpuas hati dengan sambutan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022.

Ia setelah sekian lama sambutan sebegini tidak dapat dianjurkan akibat pandemik COVID-19.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan mengajak Keluarga Malaysia mengadakan pelbagai aktiviti berteraskan konsep Keluarga Malaysia iaitu kebersamaan, keterangkuman dan kesyukuran.

(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa)

"Yang penting kita telah kembali kepada satu suasana keceriaan dan ini juga membawa erti bahawasanya kebersamaan, keterangkuman dan kesyukuran yang menjadi teras kepada konsep Keluarga Malaysia dapat kita jelmakan sepanjang kita menjambut bulan kebangsaan.

"Kita harap semua orang mengambil bahagian mengibarkan Jalur Gemilang dan yang penting lagi memperkasakan semangat patriotik, kecintaan kita sebagai rakyat dalam sebuah negara kita Malaysia," katanya.

Media Baharu