fb fb fb fb fb

Lebih 2,000 orang meriahkan Bulan Kebangsaan, Kibar Jalur Gemilang Peringkat WPKL

(Aksi penerjun payung PDRM membawa bendera Jalur Gemilang pada pelancaran Bulan Kebangsaan dan
Kibar Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2022 di Dataran Merdeka)

KUALA LUMPUR, 30 Julai- Lebih 2,000 orang berhimpun menyaksikan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2022 di Dataran Merdeka, di sini pagi tadi.

Majlis yang diadakan serentak dengan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan itu dilancarkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Acara dimulakan dengan upacara menaikkan bendera dan nyanyian Lagu Negaraku diiringi Pasukan Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kemuncak acara ialah nyanyian lagu-lagu patriotik dengan persembahan tarian gimik pelancaran menandakan bermulanya Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2022.

(Kemeriahan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2022 di Dataran Merdeka, pagi tadi)

Majlis kemudian disusuli aksi enam penerjun payung PDRM membawa bendera Jalur Gemilang dan Wilayah Persekutuan mendarat di padang Dataran Merdeka.

Pertunjukan itu mencuri tumpuan orang ramai yang menghadiri majlis pelancaran berkenaan.

"Kepada seluruh rakyat Malaysia, ayuh kita kibarkan Jalur Gemilang tidak kira di rumah, pejabat atau di mana sahaja kerana semangat patriotisme itu perlu ada dalam setiap diri setiap daripada kita. Jati diri kita adalah rakyat Malaysia itu sendiri, ayuh kibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan," kata Azuraini Abd Majid.

"Sempena Bulan Kemerdekaan ini, mari rakyat Malaysia kita beramai-ramai kibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kita cintakan negara Malaysia," menurut Hafizuddin Ab Halim.

"Bulan Kebangsaan ini kita dapat menaikkan semangat patriotisme dalam diri dan negara supaya kita masih bersemangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang, setiap tahun hari merdeka," jelas Puteri Nuraishah Meor Shahariman.

Media Baharu