fb fb fb fb fb

Melaka jadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia

PUTRAJAYA, 30 Julai- Melaka bakal menjadi tuan rumah acara kemuncak sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelbagai program diatur dan bakal diadakan pada sambutan itu nanti.

Menurut beliau sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini bertemakan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' amat bersesuaian dengan iltizam dan konsep keharmonian sebuah keluarga besar berteraskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

"Semangat Keluarga Malaysia Teguh Bersama ini harus disemarakkan dan dihayati oleh segenap lapisan masyarakat dalam usaha kita untuk sejahterakan kehidupan rakyat ketika mendepani cabaran ekonomi global.

"Saya yakin, apabila kita melakukannya secara bersama, tiada siapa yang mampu mengganggu-gugat keteguhan Keluarga Malaysia. Bak kata perumpamaan ‘segenggam lidi sukar dipatahkan berbanding sebatang lidi," katanya.

Teguh Bersama merujuk kepada kekuatan dan kesepaduan kolektif oleh Keluarga Malaysia dalam mengharungi pelbagai cabaran dengan semangat sebuah keluarga.

Beliau yang merasmikan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 turut melepaskan Konvoi Kembara Keluarga Malaysia (KKM) 2022.

Ia menandakan bermulanya kembara ke negeri-negeri seluruh Malaysia.

KKM2022 ini berkonsepkan serahan baton iaitu Baton Jalur Gemilang yang menjelajah ke seluruh negara bermula di Dataran Putra, Putrajaya dan melalui perjalanan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

KKM2022 ini akan berakhir pada 31 Ogos 2022 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur iaitu lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2022.


(Perdana Menteri ketika merasmikan merasmikan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022)

Media Baharu