fb fb fb fb fb

Perhilitan Perak sahkan kehadiran harimau di Ulu Kinta

Tangkap layar rakaman video harimau belang oleh orang awam yang tular

IPOH, 16 Disember- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan kehadiran seekor harimau belang yang dirakam orang awam, Rabu lalu.

Perkara itu susulan kejadian haiwan berkenaan berkeliaran di laluan kampung Orang Asli Tonggang di Kem Pasukan Gerakan Am, Ulu kinta.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff ketika dihubungi berkata, "pihak kami menerusi Unit Harimau telah melakukan pemantauan rapi di kawasan yang dijangka berisiko.

"Pihak kami juga akan melakukan operasi memasang perangkap khas pada Isnin bagi mengekang harimau berkenaan daripada ke kawasan penduduk," katanya.

Menurut Yusoff, pihak Perhilitan juga berusaha dalam memastikan haiwan berkenaan kembali ke habitat asalnya di Hutan Simpan Bukit Ulu Kinta.

Harimau belang seberat 80 kilogram itu dianggarkan berusia dua tahun dipercayai masuk ke kawasan tersebut disebabkan kekurangan sumber makanan.

Bagaimanapun pihak Perhilitan juga menasihati penduduk sekitar kawasan itu, berhati hati dan mengurangkan aktiviti pada waktu malam.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI