fb fb fb fb fb

Kandungan media sosial dibuang kerana promosi jualan haram, penipuan - Fahmi

Foto tangkap layar facebook Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 16 Disember - Tindakan kerajaan membuang kandungan di platform media sosial adalah disebabkan 70 peratus daripadanya mengandungi promosi jualan haram dan penipuan dalam talian, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau menafikan dakwaan kononnya kerajaan membuang kandungan di platform media sosial, kerana mengkritik beliau atau Kerajaan Perpaduan.

Berdasarkan statistik, kandungan memudaratkan pada tahun ini ialah 25,642 kandungan berbanding 1,019 pada 2022 dengan 18,140 kandungan tahun ini merupakan penipuan dan penjualan haram, diikuti 4,008 kandungan berita palsu, 2,858 kandungan jelik, 599 bersifat pornografi dan 37 kandungan bersifat mengancam.

"Tahun ini kita buang 18,140 kandungan penipuan. Zaman Annuar Musa (bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa) buang berapa? 315 je.Takkan dia tak cergas lawan penipuan pun nak salahkan saya?,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook dan X.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan mengulas berita bertajuk ‘Padam Kandungan: Langkah ke Arah Cengkaman Media’, yang diterbitkan Harakahdaily hari ini.

Media tempatan melaporkan syarikat induk Facebook, Meta dan TikTok, mengakui menerima peningkatan permintaan daripada kerajaan Malaysia untuk mengalih keluar kandungan atau menyekat akaun di platform berkenaan, bagi tempoh enam bulan pertama 2023.

TETITIA YUSOFF