fb fb fb fb fb

Perhilitan ambil masa tiga jam setengah pindahkan Paa Subong

GUA MUSANG, 30 Julai – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil masa tiga jam setengah untuk memindahkan seekor gajah jantan liar di Kampung Subong hari ini.

Ketua Operasi Translokasi Gajah Liar Kampung Subong, Mohamad Syazwan Fais Mohamad Rodzi berkata seramai 20 anggota Perhilitan terlibat dalam operasi memindahkan gajah berusia lebih 30 tahun ke habitat yang sesuai.

Katanya, dua ekor gajah denak iaitu Suria dan Kala dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Sungai Deka, Hulu Terengganu digunakan untuk memujuk gajah jantan seberat dua tan itu.

(Paa Subong berjaya dinaikkan ke dalam lori selepas dipujuk Suria dan Kala)

“Gajah jantan yang diberi nama Paa Subong itu berjaya dikesan pada pukul 4.30 petang Rabu lalu di kawasan kebun penduduk di Jalan Subong, Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah.

“Operasi mengesan gajah jantan terbabit dilakukan oleh Unit Tangkapan Gajah Perhilitan Kelantan, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Sungai Deka dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah sejak Ahad lalu,” katanya.

Tambah Syazwan, pihaknya percaya gajah tersebut berasal dari hutan simpan berhampiran iaitu Hutan Simpan Nenggiri.

Katanya, operasi pemindahan gajah itu bermula pukul 8.30 pagi dan berakhir 12 tengah hari.

Sementara itu, lebih 100 pekebun di Jalan Subong, RPT Kesedar Sungai Terah akhirnya mampu menarik nafas lega apabila gajah jantan liar yang mengganggu tanaman mereka lebih sebulan lalu telah berjaya ditangkap.

Media Baharu