fb fb fb fb fb

Nyalakan semangat peralihan, semarakkan perubahan

IPOH, 30 Julai- Tarikh 1 Hijrah 1444, hendaklah dijadikan titik tolak meningkatkan azam dan usaha, melakukan pembukaan minda, menyalakan semangat peralihan dan menyemarakkan semangat perubahan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, hari ini hendaklah dijadikan hari memeriksa dan mengaku kealpaan serta kecuaian lalu, bertekad untuk tidak meneruskan pemikiran dan cara kerja yang sama sehingga terus mengulangi kesilapan serupa.

"Hari ini hendaklah dijadikan hari kita bijak mengenal pasti dan berani mengakui ancaman besar yang sedang melanda ummah dan menghentikan sikap masih mahu menafikan kewujudan gajah yang tersergam di hadapan mata.

"Hari ini hendaklah dijadikan hari menyuntik kesedaran ummah mengenal pasti ancaman semakin kritikal yang sedang melanda ummah, lalu memikirkan strategi berkesan secara bersungguh untuk menangani ancaman yang boleh menyebabkan ummah menanggung penderitaan dalam skala yang besar," titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 Peringkat Negeri Perak di Casuarina@Meru, di sini.

Baginda turut menyampaikan anugerah pelbagai kategori, termasuk Tokoh Maal Hijrah 1444 Hijrah, usaha tani sekolah dan usaha tani masjid terbaik.

(Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 Peringkat Negeri
Perak di Casuarina@Meru, di Ipoh, Perak)

Media Baharu