fb fb fb fb fb

Pergiat penanaman nanas MD2, permintaan semakin meningkat

Mohamad Imran menunjukkan salah satu daripada tiga jenis sulur iaitu angin, tanah dan tangkai, boleh dijadikan sebagai benih/Foto UPM

SERDANG, 20 Disember -Nanas madu atau MD2 kini semakin popular dan mendapat permintaan di pasaran kerana memberikan rasa manis dan keenakan yang unik kepada si pemakan.

Varian ini memberikan kelazatan istimewa yang tidak memberikan rasa lidas (rasa pedih atau gatal pada lidah) dan empulur yang lembut berbeza dengan nanas yang lain.

Menurut kenyataan Universiti Putra Malaysia, (UPM); pasaran nanas MD2 telah diperluaskan dan berjaya menembusi pasaran Osaka sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah eksport negara bahkan membantu pemain industry negara menambah pendapatan.

Sehingga kini, hampir 20 negara mengimport produk nanas antaranya Singapura, Mesir, China dan Jepun mengikut laporan yang dikeluarkan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, LPNM pada 2021 menyeru agar lebih banyak pihak membabitkan diri dalam bidang penananam nanas, khususnya jenis MD2, yang masih kurang penghasilannya, sedangkan permintaan dalam pasaran amat tinggi.

Dalam kenyataan sama, Penolong Pegawai Pertanian, Unit Tanaman Nanas Pusat Pertanian Putra (PPP) UPM Mohamad Imran Omar berkata terdapat 16 varieti nanas di Malaysia. Namun pasaran MD2 mendapat sambutan amat menggalakkan kerana menerima permintaan tinggi oleh peminatnya.

Pasaran nanas jenis MD2 di Malaysia mendapat sambutan tinggi selepas sawit dan durian kerana kepelbagaian penggunaan buah nanas bukan sekadar segar dimakan namun mendapat permintaan dalam penghasilan jus, sambal nanas, jem, kuih, salad buahan, sabun dan sebagainya.

“MD2 merupakan buah premium kerana isinya yang sedap akan memberikan rasa ketagihan selain kulitnya yang nipis. Berat sebiji nanas MD2 boleh mencecah sehingga empat kilogram (kg),” jelas Mohamad Imran.

Selain menjadi salah satu sumber kekayaan baharu negara dalam sektor pertanian, tanaman nanas juga mudah untuk dijaga kerana tidak memerlukan siraman air yang banyak dan hanya perlu memastikan sistem perparitan yang baik bagi mengelakkan takungan air.

“Tanaman ini juga tidak memerlukan sistem penggiliran tanaman melainkan pokok tersebut telah diserang penyakit seperti Reput Teras Bakteria (bacterial heart rot) yang sedikit mengganggu industri nanas Malaysia.

“Ini kerana, penyakit tersebut masih tiada penawar. Justeru langkah kawalan perlu dilakukan sekiranya pokok telah dijangkiti penyakit tersebut. Caranya dengan mencabut dan membakar pokok yang rosak manakala kawasan tanaman perlu diletakkan sulfur atau bahan kimia berkaitan,” katanya.

Jelas Imran lagi, penyakit tersebut juga dapat dikesan apabila melihat pokok nanas mula layu dan rosak. Selian itu, para pengusaha nanas perlu sentiasa memastikan buah nanas dalam keadaan baik serta mengawal rumpai pada pokok nanas yang merupakan antara ancaman buat penghasilan buah nanas premium.

“Para peraih tidak mahu mengambil hasil buah nanas yang kurang cantik walaupun hanya terdapat sedikit sahaja kerosakan pada buah. Oleh itu, pengusaha perlu kreatif dan mengolah hasil yang tidak dibeli dengan menjadikannya baja kompos dan dapat mengurangkan sedikit kos baja,”

Beliau juga menyatakan bahawa nanas agak unik kerana tumbuhan tersebut akan menghasilkan tiga jenis sulur iaitu sulur angin, sulur tanah dan sulur tangkai yang boleh dijadikan benih tanaman selepas penghasilan buah nanas.

Selain itu, benang tekstil berkualiti tinggi juga mampu dihasilkan melalui serat nanas, sekali gus memberi pulangan berganda buat pengusaha nanas selain pasaran buahnya yang berkhasiat dan bermutu tinggi. Daripada serat daun nanas juga boleh terhasilnya sehelai kertas dan menjadi sebuah buku catatan serta penghasilan pelbagai bekas atau kotak cenderamata bermutu tinggi.

Inovasi ini menunjukkan perusahaan nanas sememangnya membuka pelbagai peluang baharu bidang keusahawanan dalam dunia pertanian sekiranya produk nanas dimanfaatkan sepenuhnya.

MAT YUNUS BIN SABRI