fb fb fb fb fb

Harimau berkeliaran di Kem PGA Ulu Kinta, ditangkap

Harimau tersebut akan dihantar ke NWRC Sungkai untuk pemeriksaan kesihatan.

IPOH, 20 Disember- Seekor harimau belang yang tersesat masuk ke kawasan Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta minggu lalu berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), awal pagi tadi.

Pengarah PERHILITAN Perak, Yusof Shariff ketika mengesahkan perkara tersebut berkata harimau jantan dengan anggaran berat kira-kira 90 kilogram itu berjaya memasuki perangkap yang dipasang sejak Isnin lalu.

"Harimau berkenaan akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai untuk pemeriksaan kesihatan," kata Yusof ketika dihubungi RTM.

Terdahulu, tular video kelibat harimau belang yang dirakam oleh orang awam sedang berkeliaran di kawasan Kem PGA Ulu Kinta menghala ke kawasan Kampung Orang Asli Tonggang.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM