fb fb fb fb fb

Pergerakan kenderaan dagang rentas sempadan pacu ekonomi negeri

Anthony Loke / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Ogos - Pergerakan harian kenderaan perdagangan dan kargo rentas sempadan Malaysia-Thailand seperti Bukit Kayu Hitam, Padang Besar dan Rantau Panjang menjadi pemacu utama ekonomi rakyat di negeri-negeri terlibat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pertambahan aktiviti logistik tersebut mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan isi rumah, sekali gus menyokong kesejahteraan ekonomi komuniti setempat.

"Sebagai contoh pembangunan depoh pelepasan pedalaman 'Perlis Inland Port' dijangka akan menyediakan peluang pekerjaan melebihi 500 orang menjelang tahun 2030.

"Negeri-negeri sempadan bukan sahaja menerima hasil langsung daripada aktiviti ekonomi harian malah memperoleh kesan berganda yang memperkukuh ekosistem ekonomi serantau Malaysia-Thailand,” katanya. 

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi di Dewan Rakyat di sini mengenai hasil ekonomi diterima negeri-negeri sempadan seperti Kedah, Perlis dan Kelantan daripada  pergerakan harian kenderaan perdagangan dan kargo rentas sempadan. 

Selain itu katanya aktiviti pergerakan kargo yang sihat turut mendorong kepada pembinaan infrastruktur sokongan seperti terminal kargo, 'dry port', serta pusat pemeriksaan bersepadu yang akan merangsang pembangunan di kawasan sekitar dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM