fb fb fb fb fb

RUU Perolehan Kerajaan 2025 Bawa Hukuman Berat, Elak Ketirisan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kerajaan MADANI komited memperkukuh integriti pentadbiran kewangan negara melalui Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 (RUU PK 2025) yang bakal diperundangkan dengan hukuman lebih tegas terhadap kesalahan kontrak perolehan.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, RUU tersebut akan menjadikan setiap peraturan perolehan yang sebelum ini berbentuk pentadbiran, dinaik taraf kepada undang-undang dengan kuasa perundangan penuh.

“Kerajaan Madani sentiasa menambah baik dan mengemaskini peraturan sedia ada dalam urusan perolehan kerajaan.

"Oleh itu, kerajaan komited dengan menguatkuasakan pelaksanaan perolehan secara tender terbuka bagi memastikan tiada ketirisan berlaku dalam kontrak kerajaan.

"Sejak mengambil alih pentadbiran, Kerajaan Madani telah menghentikan amalan menganugerahkan projek biasa secara rundingan terus, seperti jalan sekolah dan hospital.

"Ini selaras peraturan Perolehan Kerajaan di bawah Pakeliling Perbendaharaan Perolehan Kerajaan 2.1 Kaedah Perolehan Kerajaan,” katanya.

Tambahnya, RUU PK 2025 memperuntukkan denda minimum tiga kali nilai kontrak atau RM1 juta (mana lebih tinggi), selain hukuman penjara sehingga lima tahun terhadap pihak yang melanggar undang-undang perolehan kerajaan.

RUU itu turut digubal selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang diterajui SPRM, bagi memastikan setiap perbelanjaan awam diurus secara telus, berakauntabiliti dan bebas daripada ketirisan.

Tegasnya, pelaksanaan undang-undang baharu itu bukan sahaja mengekang kerugian dana awam berbilion ringgit, malah memperkukuh keyakinan rakyat dan pelabur terhadap komitmen kerajaan dalam melaksanakan prinsip tadbir urus telus dan berintegriti.

Hui Ying menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Rushdan Rusmi di Dewan Rakyat.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello